Ikan Asing Sebabkan Wabak KHV, Kematian Tinggi Ikan Pelian Sabah

Ikan Asing Sebabkan Wabak KHV, Kematian Tinggi Ikan Pelian Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas menangani wabak kematian ikan pelian akibat Koi Herpesvirus (KHV) yang dilaporkan sejak 1 Ogos 2025.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kematian besar-besaran berlaku di sungai utama Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang, dengan kadar kematian antara 80 hingga 100 peratus.

Beliau menjelaskan, penyebaran berlaku terutamanya akibat pelepasan ikan asing, termasuk ikan koi dan spesies Cyprinidae bukan endemik Sabah, ke perairan umum tanpa kawalan.

“Semua Pengerusi Tagal diarahkan mengenal pasti, menangkap dan mengeluarkan semua ikan koi serta spesies Cyprinidae bukan endemik Sabah dari kawasan tagal dan sungai.

“Ikan tersebut hendaklah dimusnahkan serta-merta mengikut SOP pelupusan biosekuriti dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang,” katanya.

Jamawi menambah, kementerian turut mengenakan larangan sementara terhadap semua aktiviti import dan eksport ikan Cyprinidae sehingga penilaian risiko biosekuriti selesai.

“Tiada kompromi terhadap ancaman biosekuriti – tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” tegasnya.