RANAU: Dua individu dipercayai ahli kumpulan sulit dari Filipina, Kappa Rho Kappa (KRK), ditahan polis kerana mempromosikan pertubuhan itu di Sabah.
Perintah reman selama empat hari dikeluarkan Mahkamah Majistret Ranau bagi membantu siasatan selepas permohonan dibuat oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah.
Kes bermula daripada laporan polis pada 5 Jun susulan penemuan video di TikTok yang memaparkan dua individu mempromosikan kumpulan tersebut kepada penduduk tempatan.
Susulan itu, sepasukan khas polis menjalankan operasi dan menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Kinasaraban Pitas, Kundasang.
Polis turut merampas dua telefon bimbit dan menemui beberapa rakaman video berkaitan. Pemeriksaan awal juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai tiga kesan lecur di pergelangan tangan kanan, dipercayai berkaitan siasatan.
“Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk analisis bahan digital, rakaman percakapan saksi serta mengenal pasti rangkaian lain yang mungkin terlibat,” kata sumber polis.
Kes disiasat di bawah peruntukan berkaitan penglibatan dan promosi pertubuhan menyalahi undang-undang. Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan wujud usaha merekrut ahli baharu serta penyebaran melalui platform dalam talian.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan haram dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.






