KOTA KINABALU, SABAH – Datuk Peter Anthony ADUN Melalap Parti Warisan Sabah disyaki telah menipu Hakim dan Mahkamah selepas hadir dalam satu majlis bersama rakyat di daerah Papar pada 23 April 2021 bertempat di Big Tree Limbahau Papar, Sabah.
Sebelum ini, perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu, Datuk Peter Anthony yang didakwa atas pertuduhan menggunakan DOKUMEN PALSU telah ditangguhkan ke tarikh 3 Mei, selepas bekas menteri itu diarahkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Sebelum ini, Datuk D Senthinathan peguam yang mewakili Peter Anthony memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu dikenakan perintah kuarantin selama 10 hari bermula tarikh 16 hingga 26 April depan.
Susulan perkara itu, Hakim Azura Alwi kemudiannya telah menetapkan tarikh 3, 4 dan 19 Mei; 26 dan 27 Julai; 23 dan 27 Ogos; 29 dan 30 Sept; 28 dan 29 Okt; serta 15 dan 16 Nov depan sebagai tarikh baharu perbicaraan tersebut.
Walau bagaimanapun, Peter dikatakan telah menghadiri Majlis Sembang Mesra Bersama Rakyat di Papar Sabah pada 23 April 2021.

Tarikh akhir kuarantin bagi Peter sepatutnya berakhir pada tarikh 26 April 2021.
Foto majlis bersama rakyat yang dihadiri oleh Peter turut tular di laman media sosial. Disamping itu, orang ramai turut mempersoalkan kenapa Peter menghadiri majlis tersebut kerana beliau sepatutnya masih lagi dalam tempoh menjalani kuarantin kendiri.

“Peter secara jelas telah menipu Yang Arif Hakim dan Mahkamah sehingga menyebabkan perbicaraan kes tipu dokumen terpaksa ditunda, pihak Polis dan Peguam Negara juga diminta segera menyiasat penipuan ini,” menurut mereka lagi.
Terdahulu, Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah didakwa melakukan pemalsuan surat kepada pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan PERNYATAAN PALSU pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, Tingkat lima, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara tarikh 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.
Peter juga berdepan dengan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd yang telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.