Wanita Ditemukan Rentung Dalam Kebakaran Di Kampung Sungai Kapur

Wanita Ditemukan Rentung Dalam Kebakaran Di Kampung Sungai Kapur

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Sungai Kapur Jalan Ulu Dusun Batu 28 Sandakan pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 12.41 pagi. 

Katanya, 12 anggota bomba dari BBP Sandakan diarahkan ke lokasi sejauh 45 kilometer (km) dan agensi lain yang turut ada bersama adalah tiga anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kebakaran telah melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×40 kaki persegi terbakar 100 peratus.

“Terdapat seorang mangsa, iaitu wanita warga emas, 84 tahun ditemui rentung dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, anggota bomba melakukan operasi pemadaman api dengan menggunakan satu aliran dua pancutan hos sepanjang 200 kaki dan sumber air daripada jentera bomba.

Setelah memastikan tiada bahaya lain, operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.17 pagi.