TAWAU: Polis Tawau berjaya memberkas dua warga asing hari ini, dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah Homestay di Tawau.
Polis Tawau dalam kenyataan media di sini, hari ini berkata, laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah Inap Desa/Homestay berkaitan kes ini yang melibatkan anggaran kerugian lebih kurang RM5,000 dan sempat tular di media sosial.
“Bertindak atas risikan dan intipan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor dan berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rakan subahat. Berpandukan maklumat yang diberi, serbuan susulan turut dibuat di sebuah bilik sewa dan berjaya menahan seorang lagi lelaki,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, hasil penggeledahan di dalam bilik sewa telah menjumpai sebuah televisyen disyaki barang yang dicuri dari homestay tersebut.
“Kesemua suspek yang ditahan adalah warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.






