Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

0
SHARE
Jasnih
Hajiji (tiga dari kiri) bersalaman bersama penduduk yang hadir diiringi Jasnih (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Projek pembinaan Pekan Kecil Mengkabong dijangka bermula tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya berkata, pelbagai pembangunan telah dirancang bagi kawasan DUN Pantai Dalit antaranya melibatkan pembinaan Pekan Kecil Mengkabong.

“Pembinaan ini sudah mendapat kelulusan dan terdapat sedikit proses dokumentasi yang perlu diselesaikan sebelum dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

“Selain itu, yang jelas kita telah dapat untuk diagihkan kepada penduduk kawasan Pantai Dalit ini adalah tanah-tanah bagi membuka perkampungan baharu.

“Ini disediakan khusus kepada penduduk yang tidak mempunyai tapak rumah dan Ketua Menteri meluluskan sekitar 180 ekar tanah untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Pantai Dalit,” katanya ketika ditemui media selepas sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Pantai Dalit di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, pada Ahad.

Menurut Jasnih, tapak rumah yang diagihkan membolehkan penduduk turut menerima dan merasa bantuan kerajaan seperti bantuan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengulas mengenai sambutan rumah terbuka berkenaan, beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd berkata tujuan sambutan berkenaan adalah untuk bertemu dan bersama-sama dengan rakyat meraikan suasana hari raya.

“Sambutan hari ini merupakan yang julung kali diadakan memandangkan pada tahun lepas masih terdapat kekangan wabak COVID-19.

“Saya juga berbesar hati atas kesudian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk bersama-sama dalam sambutan pada hari ini,” tambahnya.

Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan yang bermula sejak jam 6.00 petang itu.

Hadir sama, Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar. — JABATAN PENERANGAN SABAH