DBKK Terus Ingatkan Penduduk “Hari-Hari Bawa Beg Bah”, Kurangkan Penggunaan Plastik

DBKK Terus Ingatkan Penduduk “Hari-Hari Bawa Beg Bah”, Kurangkan Penggunaan Plastik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mengingatkan penduduk agar membawa beg sendiri semasa membeli-belah melalui kempen “Hari-Hari Bawa Beg Bah” yang bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna di bandar raya ini.

Kempen yang dimulakan pada 1 Ogos 2024 itu menggalakkan orang ramai untuk lebih peka terhadap kesan negatif penggunaan beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

DBKK menekankan pentingnya amalan hijau melalui konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kalangan masyarakat.

“Objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kesan penggunaan beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan.

“Kami ingin memupuk budaya membawa beg sendiri ke pasar raya, kedai serbaneka, farmasi, dan pasar,” kata DBKK dalam sebuah kenyataan.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada peniaga bahan mentah seperti ikan, daging, dan makanan laut di pasar-pasar.

DBKK turut mempertimbangkan untuk memperkenalkan Undang-undang Kecil (UUK) bagi mengawal penggunaan dan pembuangan beg plastik secara lebih berkesan di masa hadapan.

Namun, pihak DBKK menegaskan bahawa tiada kompaun dikeluarkan setakat ini terhadap individu yang masih menggunakan beg plastik sekali guna.