KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sah memegang majoriti dengan sokongan 114 Ahli Parlimen untuk menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.
Kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara hari ini berkata proses seterusnya bagi beliau adalah istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan.
Perasmian itu dijadualkan pada pukul 2.30 petang esok (Sabtu) di Istana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata dengan pelantikan Ismail, Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara…
“Seri Paduka Baginda mengulangai pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berpelembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang…
“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya lagi.
Pada jam 2.30 petang di Istana Negara tadi, suatu sesi Perbincangan Khas telah berlangsung selama dua jam setengah di mana Yang di-Pertuan Agong mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu.