LABUAN: Seramai 20 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Ops Gegar Sasar yang dijalankan serentak di seluruh negara termasuk tiga tapak pembinaan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan, kelmarin.
Operasi yang bermula jam 10.30 pagi itu melibatkan seramai 21 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) WP Labuan diketuai Pengarahnya,Raymond Entalai, dengan bantuan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut Raymond,seramai 48 individu telah diperiksa dan hasilnya 20 warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Tahanan terdiri daripada 16 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa warganegara Filipina serta tiga lelaki dewasa warganegara Indonesia berumur antara 17 hingga 60 tahun,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, tiga saman saksi turut dikeluarkan kepada majikan untuk siasatan lanjut.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen WP Labuan bagi proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan bagi siasatan dan tindakan susulan.
JIM Labuan turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras kehadiran warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Pendakwaan juga akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan Pas yang sah,” katanya.
Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja yang diambil.