Pengarah Klinik Ditahan SPRM, Disyaki Kemuka Dokumen Palsu Bernilai RM50,000

Pengarah Klinik Ditahan SPRM, Disyaki Kemuka Dokumen Palsu Bernilai RM50,000

0
SHARE

LAHAD DATU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang pengarah sebuah klinik swasta di salah satu daerah negeri ini kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan Program Saringan Kesihatan anjuran sebuah badan berkanun bernilai kira-kira RM50,000.

SPRM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Lahad Datu, Sabah.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dengan menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum PERKESO tanpa pengetahuan mereka untuk memohon dana program tersebut.” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah turut mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil.