STAR Mohon Pertimbangkan Tukar Kerusi Parlimen Pensiangan Dengan PBRS Untuk PRU-15

STAR Mohon Pertimbangkan Tukar Kerusi Parlimen Pensiangan Dengan PBRS Untuk PRU-15

0
SHARE
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan merasmikan program Sabah Agro Expo SAEX 2022...

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengemukakan permohonan terbuka agar dipertimbangkan untuk bertukar kerusi Parlimen Pensiangan dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menjelaskan PBRS sebelum ini telah melanggar persetujuan mereka untuk mengelak pertembungan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“Semasa pilihan raya yang lepas, kita mempunyai persetujuan yang sama, tetapi tidak ada apa-apa yang terjadi dan mereka langgar (persetujuan) itu…

“Jadi kali ini kita mahu kurangkan langgar-langgar sebanyak yang mungkin, itu sahaja…

“Memang kita minta (kerusi Parlimen Pensiangan) sama ada kita dapat atau tidak itu soalan kedua. Jadi kita mohon dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Sabah Agro Expo SAEX 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Jeffrey mengulas perkara tersebut berhubung kenyataan terbuka hari ini berkenaan cadangan kerusi Parlimen Pensiangan dipertimbangkan untuk diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut kenyataan terbuka itu, ia selaras dengan kehendak akar umbi untuk sebuah ‘pertandingan mesra’ berikutan beliau mendakwa PBRS bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Jeffrey ketika ditanya media berkenaan cadangan lantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah, beliau menyatakan pihaknya menyambut baik namun menegaskan siapa pun bakal calon mesti memainkan peranan sebagai TPM.

“Kita mengalu-alukan kalau menjadi kenyataan tetapi mesti mempunyai peranan untuk dimainkan bukan hanya atas nama. Apa yang penting ialah kita dapatkan kembali hak kita,” katanya.