Berani Tegur, Berani Konsisten, PKR Selangor Persoal Prinsip Konsisten Isu Festival Hiburan

Berani Tegur, Berani Konsisten, PKR Selangor Persoal Prinsip Konsisten Isu Festival Hiburan

0
SHARE

KUALA LUMPUR — Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash menegaskan prinsip konsistensi perlu menjadi asas dalam setiap pendirian politik, khususnya apabila melibatkan isu yang menyentuh sensitiviti awam.

Beliau berkata, beliau tidak mempunyai sebarang isu peribadi terhadap mana-mana parti politik dan tidak mengamalkan pendekatan mengkritik secara melulu, namun menegaskan bahawa dalam politik, konsistensi adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.

Menurutnya, tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang secara terbuka menggesa pembatalan festival Rain Rave di Bukit Bintang sebelum ini bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya mencerminkan satu pendirian jelas mengenai apa yang dianggap wajar dan tidak wajar.

“Persoalan yang timbul adalah mudah — jika acara seperti itu dianggap tidak sesuai di Kuala Lumpur, mengapa pendekatan yang sama tidak diambil apabila acara yang hampir serupa berlangsung di Melaka?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada penganjuran Melaka Water Music Festival yang berlangsung di Pantai Klebang dari 1 hingga 3 Mei, yang menurutnya menampilkan elemen tidak jauh berbeza seperti muzik, budaya, makanan serta aktiviti komuniti dan hiburan.

“Bezanya hanya lokasi, bukan pengisian,” katanya.

Dr Sathia juga merupakan Ketua PKR Cabang Hulu Selangor berkata, isu sebenar bukan terletak pada festival tersebut, tetapi pada prinsip yang digunakan dalam membuat penilaian.

“Adakah sesuatu itu salah hanya apabila ia berlaku di tempat tertentu, atau prinsip itu sepatutnya kekal sama tanpa mengira lokasi?” soal beliau.

Tambahnya, keadaan menjadi lebih signifikan apabila individu yang lantang mengkritik turut merupakan sebahagian daripada pentadbiran negeri, sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk mempersoalkan konsistensi pendirian tersebut.

“Jika berani mendesak pembatalan di satu tempat, maka harus berani mengambil pendirian yang sama di tempat lain.

“Jika tidak, ia bukan lagi soal prinsip tetapi soal persepsi — dan persepsi itu jelas, iaitu selektif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut bukan satu serangan terhadap mana-mana individu, sebaliknya sebagai peringatan bahawa rakyat kini semakin peka dalam menilai tindakan pemimpin.

“Kredibiliti tidak dibina melalui kenyataan yang kuat dalam satu isu sahaja, tetapi melalui konsistensi dalam semua keadaan.

“Akhirnya, rakyat tidak menuntut kesempurnaan, tetapi keadilan. Dan keadilan itu bermula dengan satu perkara asas — jangan selektif,” katanya.