KUNAK: Daerah Kunak bakal mencipta sejarah baharu menerusi pelaksanaan projek mega Kunak New Township yang dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan di pantai timur Sabah.
Projek berimpak tinggi itu diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif, sebagai komitmen beliau untuk memastikan Kunak tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
Melibatkan kawasan seluas 107 ekar di Simpang 4, projek ini merangkumi tiga komponen utama iaitu zon komersial, perumahan, dan industri ringan yang dijangka membawa limpahan ekonomi, peluang pekerjaan serta kemudahan gaya hidup moden kepada penduduk setempat.
“Inilah hasrat dan tekad saya sejak diberi amanah sebagai ADUN. Kita tidak boleh tunggu sempurna untuk mula bekerja.
“Dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi terlibat, saya yakin Kunak mampu berubah menjadi hab pembangunan strategik di pantai timur Sabah,” kata Norazlinah.
Zon komersial dalam projek ini akan menempatkan restoran, hypermarket, bangunan kedai dua tingkat, panggung wayang, stesen minyak dan terminal bas moden.
Zon perumahan pula melibatkan pembinaan 278 unit rumah teres dan 83 unit rumah berkembar, manakala zon industri ringan akan menyediakan 37 lot perindustrian bagi merancakkan pelaburan dan menjana peluang pekerjaan.
Pelaksanaan projek dijangka bermula dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan teknikal dan penyelarasan fasa awal.
Satu mesyuarat khas baru-baru ini telah dipengerusikan oleh Norazlinah bersama wakil agensi serta jabatan teknikal berkaitan bagi merangka pelan tindakan pembangunan.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak, Mohd Nazri Pintal, serta wakil pemaju Amazing Synergy Sdn Bhd dan firma arkitek Innotech Design Architects Sdn Bhd yang diketuai oleh Pengarah Ar. Sim Sie Hong.
Norazlinah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas sokongan terhadap pembangunan seimbang di seluruh negeri termasuk kawasan luar bandar seperti Kunak.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang prihatin dan progresif, banyak projek yang dulunya dianggap mustahil kini menjadi kenyataan.
”Ini termasuklah Kunak New Township yang disokong menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” tambah beliau.






