Kerajaan Negeri Komited Kurangkan Kadar Miskin Tegar

Kerajaan Negeri Komited Kurangkan Kadar Miskin Tegar

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (dua kanan) menyantuni para peniaga bazar ramadan Kg. Selupoh sebelum menghadiri mesyuarat dan Majlis Berbuka Puasa ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Kerajaan negeri komited dalam mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai inisiatif dilakukan bagi membantu rakyat keluar dari belenggu kemiskinan.

“Perkara ini menjadi perjuangan yang perlu diutamakan oleh kerajaan negeri dengan mengenal pasti rakyat yang berada pada paras miskin tegar untuk kita bantu.

“Antara inisiatif yang dilakukan termasuklah pembinaan 1,500 unit rumah setahun untuk diserahkan kepada mereka sebagai tempat kediaman.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi modal membantu mereka membuka perniagaan kecil-kecilan dan berjualan sebagai inisiatif menjana pendapatan.

“Kerajaan negeri turut berusaha memberikan peluang pekerjaan kepada mereka dengan mengarahkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau pelabur-pelabur baru yang datang ke Sabah agar menyediakan peluang kerja kepada mereka termasuklah ahli-ahli dari senarai e-Kasih,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik pada Sabtu.

Sebelum itu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa GRS Bahagian Sulaman dengan inti menggesa agar pemimpin akar umbi sentiasa bersatu dalam melaksanakan perjuangan.

“Saya menekankan kepada semua pimpinan akar umbi, ketua-ketua cawangan agar mengukuhkan perpaduan dan bersatu hati melaksanakan perjuangan membantu rakyat.

Seperti kemarau yang melanda ketika ini, saya akan memastikan agar pemimpin di peringkat akar umbi turun padang membantu sekiranya terdapat kawasan-kawasan yang ketiadaan air untuk melaporkan kepada Pegawai Daerah seterusnya jabatan yang bertanggungjawab sebagai penyelesaian,” tambahnya.

Turut hadir, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar. — JABATAN PENERANGAN SABAH