PAPAN IKLAN DI TANAH WAKAF MASJID AL-KAUTHAR DIDAKWA DIPASANG TANPA KEBENARAN MUIS

PAPAN IKLAN DI TANAH WAKAF MASJID AL-KAUTHAR DIDAKWA DIPASANG TANPA KEBENARAN MUIS

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Menurut sumber, sebuah papan iklan digital di tanah wakaf Masjid Al-Kauthar, Tawau, didakwa dipasang oleh kontraktor atau syarikat tanpa pengetahuan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Lembaga Pengurusan Wakaf Sabah.

Sumber itu turut mendakwa papan iklan sedia ada milik MUIS telah dialihkan sehingga menghadap ke laut.

Ahli jawatankuasa masjid seharusnya peka terhadap isu ini dan merujuk kepada MUIS terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembinaan struktur atau penggunaan tanah wakaf di kawasan masjid. Persetujuan jawatankuasa masjid sahaja tidak memadai kerana pembinaan struktur di atas tanah wakaf memerlukan kebenaran MUIS atau Lembaga Pengurusan Wakaf Sabah.

Seksyen 41(1)(b) Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 [No. 7 Tahun 2018] menetapkan bahawa mendirikan bangunan atau struktur di atas tanah atau bangunan wakaf tanpa kebenaran MUIS atau Lembaga Pengurusan Wakaf Sabah merupakan satu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. Bagi kesalahan berterusan, denda tambahan sehingga RM500 sehari boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada MUIS akan membuat laporan polis berhubung pemasangan papan iklan tersebut.