KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah menggema inisiatif global dalam menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG).
Menteri KSTI, Datuk Yakub Khan berkata ia sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri dan Negara dalam melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
“KSTI akan terus menggunakan kemampuan dan pengetahuan yang ada untuk mencapai 17 matlamat dan 169 sasaran Agenda 2030…
“Tumpuan utama akan diberikan khusus bagi agenda air bersih dan sanitasi, pengurusan sumber alam dan biodiversiti yang mampan, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, tindakan iklim, serta hidupan air dan darat,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis perasmian Persidangan Pengurusan Sumber Alam dan Persekitaran Asia Tenggara Ke-5, 2021, yang bertemakan “Ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan” dianjurkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi.
Yakub berkata, komitmen Kerajaan Sabah kuat terhadap tindakan tempatan yang memberi impak global.
“Ini menunjukkan bahawa dengan menyokong strategi tempatan, teknologi yang diuji di lapangan dan pelaksanaan kaedah inovatif, ia berpotensi untuk mengurangkan ancaman terhadap persekitaran global…
“Ianya juga membolehkan negeri menjana manfaat, meningkatkan taraf hidup dan memperkasakan masyarakat sebagai penjaga sumber semula jadi di peringkat akar umbi,” kata beliau.
Yakub turut memuji motivasi UMS bagi mencapai matlamat tersebut yang dapat dilihat daripada warisan budaya akademik dan penyelidikan.
“UMS telah dipupuk secara konsisten dan kini menyediakan peluang yang lebih besar untuk berkembang bagi mencari idea dan pengetahuan dalam pengurusan sumber ke arah pembangunan mampan…
“Ini juga menjadi bukti nyata bahawa sektor pendidikan tinggi seperti UMS juga dapat menyumbang kepada idealisme kelestarian kepada pelbagai pihak yang berkepentingan dalam menangani pengurusan sumber alam,” tambah beliau.
Turut hadir dalam persidangan secara maya itu ialah Naib Canselor, UMS, Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Dr. Rasid Mail dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Dr. Jualang Azlan Gansau.