Naik Taraf Durian Kampung Ke Premium Tingkat Nilai, Pendapatan Pekebun Tempatan –...

Naik Taraf Durian Kampung Ke Premium Tingkat Nilai, Pendapatan Pekebun Tempatan – Jamawi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Usaha menaik taraf durian kampung kepada varieti premium dilihat mampu meningkatkan nilai pasaran serta pendapatan pekebun di Sabah, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Menurut beliau, pendekatan melalui teknologi cantuman dewasa akan diperluaskan bagi membantu pekebun tempatan beralih kepada penghasilan durian premium yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi.

“Setiap musim kita lihat lambakan durian kampung menyebabkan harga jatuh serendah RM3 hingga RM5 sekilogram.

“Sedangkan durian premium seperti Musang King boleh mencecah sehingga RM75 sekilogram dan Black Thorn sekitar RM85 sekilogram,” katanya ketika ditemui pada majlis santai durian bersama pengamal media di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mempromosikan durian premium serta tanaman avocado tempatan turut menjadi fokus utama Kementerian Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah dalam memperkukuh sektor agromakanan negeri.

Katanya, varieti avocado tempatan dikenali sebagai QAV1 atau dijenamakan sebagai Queen Sabah Avocado menunjukkan potensi pasaran yang memberangsangkan dengan harga ladang sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram.

Sehubungan itu, Jamawi berkata, program bantuan penanaman avocado akan diperluaskan khususnya di kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau, Kota Marudu, Kudat dan Ranau bagi membantu petani menjana pendapatan tambahan.

Beliau turut memaklumkan program Jelajah Kebun Dapur akan diteruskan sempena Pesta Kaamatan bermula 1 Mei ini di Papar, melibatkan agihan benih sayuran percuma serta tawaran diskaun sehingga 50 peratus bagi anak pokok buah-buahan, ternakan dan benih ikan.

Selain itu, katanya, sebanyak 25 pusat pengumpulan hasil pertanian telah diaktifkan di setiap kawasan Parlimen bagi memudahkan pemasaran hasil petani.

“Peranan ini akan digerakkan oleh Sabah Agriculture Marketing Authority yang berfungsi seperti FAMA bagi memastikan hasil petani dapat dipasarkan pada harga munasabah.

“Apabila berlaku lambakan, SAMA akan membeli hasil pertanian bagi mengelakkan kerugian kepada petani,” katanya.