SANDAKAN: Kebimbangan penduduk di sekitar Pulau Lubukan akhirnya reda selepas seekor buaya tembaga seberat kira-kira 500 kilogram dan sepanjang hampir 13 kaki berjaya ditangkap berhampiran pesisir pulau itu pada Jumaat.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada orang awam sekitar jam 9 pagi selepas reptilia berkenaan dilihat berenang berhampiran kawasan pantai.
Perkara itu menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk kampung yang bergantung kepada laut untuk aktiviti harian.
Pegawai APM Sandakan, Sulaiman Salama berkata, sebelum ketibaan pasukan penyelamat, penduduk kampung bertindak pantas dan berjaya menahan buaya tersebut menggunakan kaedah asas bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih berbahaya.
Menurutnya, tindakan awal penduduk itu banyak membantu mengawal situasi, terutama bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku sementara menunggu bantuan pihak berkuasa.
“Sebagai langkah keselamatan awal, buaya berkenaan dibawa ke darat menggunakan bot Polis Marin sebelum operasi susulan dijalankan secara bersepadu oleh APM, Jabatan Hidupan Liar dan Polis Marin di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama antara agensi terlibat membolehkan operasi pengendalian buaya itu diselesaikan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang kecederaan atau insiden lain.
Buaya tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut, termasuk pemantauan dan pengurusan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Dalam pada itu, penduduk Pulau Lubukan menzahirkan rasa lega dengan penangkapan buaya berkenaan, memandangkan kemunculannya sebelum ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, khususnya nelayan dan kanak-kanak yang sering berada di kawasan pantai.
Pihak berkuasa turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada agensi berkaitan sekiranya mengesan kehadiran buaya atau hidupan liar berbahaya di kawasan penempatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.






