Warisan Tepis Pendapat Maximus; Kerajaan Satu Parti Adalah Terbaik Bagi Sabah

Warisan Tepis Pendapat Maximus; Kerajaan Satu Parti Adalah Terbaik Bagi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah (Warisan) menepis pendapat Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini kerana kerajaan satu parti adalah yang terbaik bagi Sabah.

Ketua Wanita Warisan Penampang, Mary June Kinsuat, berkata bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Maximus, sebuah kerajaan pelbagai parti sebenarnya menjadi sebab utama kenapa ketidakcekapan masih berlaku di Sabah.

“Saya tidak faham bagaimana satu keputusan eksekutif atau dasar dibuat oleh tujuh parti berbeza dengan ideologi politik berbeza yang duduk dalam Kabinet Negeri berbeza dengan keputusan yang dibuat oleh sebuah parti yang mentadbir Sabah.

“Tapi apa yang menjadikan ia lebih lucu ialah bahawa, akhirnya, semua yang dipanggil pelbagai parti BN Sabah ini perlu merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai banyak perkara penting yang secara langsung menjejaskan Sabah seperti RCI mengenai Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Sabah, Perjanjian Malaysia 1963 dan Dasar Kabotaj.

“Tiada bukti atau data empirikal mengesahkan bahawa kerajaan pelbagai parti telah menjadikan Sabah maju dan makmur; malah Sabah kini adalah salah satu negeri paling miskin. Ia pernah menjadi negeri terkaya (ketika era Berjaya),” katanya.

Kinsuat berkata sehingga kini, puluhan ribu belia Sabah masih berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan, satu trend yang bermula sejak pertengahan 90-an; satu bukti di mana Maximus salah untuk mengatakan kerajaan pelbagai adalah yang terbaik bagi Sabah kerana kepentingan pelbagai masyarakat di Sabah dilindungi.

Maximus, katanya, harus tahu bahawa orang-orang yang menikmati manfaat besar di bawah sistem pelbagai parti adalah pendatang tanpa izin yang diberikan kerakyatan di bawah Projek IC.

Beliau mendakwa bahawa 200,000 pendatang tanpa izin (dengan ramai lagi belum dikesan) bergerak bebas di Sabah, semuanya disebabkan ketidakupayaan kerajaan pelbagai parti Maximus untuk membuat pendirian muktamad untuk satu penyelesaian kekal sementara pada masa sama, dia (Maximus) terus mengulangi perkara sama bahawa partinya konsisten dalam isu itu.

Kinsuat memberi pendapat bahawa satu pentadbiran cekap dan berkesan memerlukan sebuah kerajaan satu parti yang akan bekerja bersama dengan badan-badan yang mewakili kumpulan etnik dan sub-etnik di Sabah.

“Ia menggesa kita untuk menimbang satu soalan paling penting; jika sebuah kerajaan pelbagai parti adalah yang terbaik bagi Sabah, kenapa kita melihat begitu banyak NGO berasaskan kaum muncul di Sabah dan berusaha membantu kumpulan etnik masing-masing kerana bimbang diketepikan?

“Tidakkah ini memberitahu kita bahawa sistem pelbagai parti Bn telah gagal dengan teruk di Sabah yang mempunyai 48 kumpulan etnik berbeza?

“Bukankah sistem satu parti lebih berkesan, cekap dan adil yang mana ia akan mengambil kira semua input dan pandangan NGO-NGO dan persatuan-persatuan yang mewakili 48 kumpulan etnik berbeza di Sabah?” soalnya.

Kinsuat juga mengingatkan Maximus mengenai rayuan-rayuan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PBS, UPKO dan PBRS untuk menghapuskan ego dan bersatu di bawah sebuah parti dalam BN pada pilihan raya lepas.

Malangnya, kata Kinsuat, pemimpin-pemimpin enggan mendengar dan dalam cubaan untuk meredakan rasa tidak puas hati yang semakin ketara, mereka muncul dengan idea Tataba.

Natijahnya, rakyat Sabah dihukum oleh PBS dan UPKO sementara Tataba mereka hilang selepas pilihan raya.

“Sekarang, menyedari bahawa PBS kehilangan sokongan besar di peringkat akar umbi, Maximus boleh bergantung kepada sistem pelbagai parti yang mana, ironinya, adalah sistem yang tidak digemari oleh Orang Asal di Sabah.

“Dan saya percaya bahawa pilihan raya akan datang ini akan menjadi pilihan raya yang paling buruk buat PBS, melepasi rekod MCA pada 2013 dan adalah penting bagi Orang Asal di Sabah untuk menentukan sama ada mereka masih mahu mengundi PBS atau memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda dalam Warisan untuk memperbetul apa yang salah di Sabah,” katanya.

– HarianEkspres