TELUPID, SABAH – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merupakan Kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin di samping meningkatkan ekonomi rakyat serta negara.
Bagi memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan secara inklusif, Program Semarak Tani Keluarga Malaysia (STKM) dirangka antara lain bertujuan untuk membantu memperkasa komuniti agromakanan luar bandar selain menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.
Program STKM yang diadakan di Telupid pada kali ini telah disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di mana program ini sedang berlangsung selama tiga hari di Tapak Pasar Tamu Telupid bermula semalam dengan pelbagai aktiviti diadakan seperti Karnival My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat, Karnival Sukan Rakyat dan lain-lain.
“Program ini tentu sekali akan meningkatkan semangat usaha mereka untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan meningkatkan ekonomi di kalangan pengusaha kecil pertanian di luar bandar,” kata Dr Ronald…
Usaha MAFI ini juga adalah bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas langsung daripada komuniti agromakanan terhadap impak pelaksanaan dasar-dasar dan pendekatan Kerajaan serta memberikan keyakinan kepada komuniti agromakanan terhadap komitmen serta usaha-usaha berterusan Kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan mereka sekaligus meningkatkan daya tahan sistem makanan secara menyeluruh.
Sehingga September 2022, MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah berjaya mencatatkan nilai jualan RM1.564 bilion dan membangunkan 2,250 pembangunan outlet melibatkan seramai 55,572 usahawan di seluruh negara.
Antaranya program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak yang melibatkan projek menaiktaraf Pasar Tamu dengan matlamat untuk mentransformasikan Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.
Untuk rekod sehingga September 2022, sepuluh (10) lokasi Pasar Tamu telah dinaiktaraf iaitu lapan (8) lokasi Pasar Tamu telah beroperasi, manakala dua (2) lokasi Pasar Tamu masih di peringkat pembinaan iaitu di Tuaran, Sabah dan Sebuyau, Sarawak.
Di bawah RMKe-12, FAMA telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran di Sabah sebagai lokasi untuk dinaiktaraf pada tahun 2022 yang juga telah mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Daerah Tuaran.
Melangkah kehadapan, FAMA komited untuk terus membangunkan rantaian pemasaran pertanian di daerah Telupid melalui beberapa projek pembangunan termasuk penubuhan sebuah Pasar Tamu Telupid serta membangunkan Pusat Pengumpulan Ladang dan Gerai Buah-Buahan Segar.
Dengan pembangunan yang telah dikenalpasti ini, semestinya akan memberi manfaat kepada rakyat Telupid dan sekali gus membangunkan sektor pertanian daerah Telupid supaya rantaian pemasaran pertanian di negeri Sabah terus diperkasa.
Terdahulu, Dr Ronald turut menyampaikan bantuan Kit MAFI Prihatin kepada 500 orang penerima dan menyerahkan peralatan usahawan Ladang Kontrak serta bantuan peralatan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Beliau juga turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara usahawan dan FAMA bagi pemasaran buah pamelo serta MoU antara pengeksport dan FAMA bagi pemasaran pisang.
Turut hadir, YB Jonnybone J Kurum, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, YB Samad bin Jambri, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah merangkap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, YBhg. Dato ’Zainal Abidin Bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, En. Mohd Razif bin Abdullah, Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, En. Ribin Bin Wahid, Pengarah FAMA Negeri Sabah dan En. Muhammad Nasrul bin Omar, Penolong Pegawai Daerah Telupid.