MUIS Salur RM18 Juta Bantu Pendidikan di Sabah

MUIS Salur RM18 Juta Bantu Pendidikan di Sabah

0
SHARE
Arifin
Arifin semasa ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyalurkan RM18 juta untuk membantu membangunkan bidang pendidikan di negeri ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ariffin Mohd Arif berkata jumlah tersebut telah disalurkan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan dalam sektor pendidikan negeri ini sehingga September 2024.

“Untuk makluman, tahun lalu MUIS di bawah Bahagian Zakat dan Fitrah telah membelanjakan RM20 juta untuk membantu anak-anak kita dalam bidang pendidikan di dalam dan di luar negeri.

“Untuk tahun ini sehingga September 2024, kita telah membelanjakan sejumlah RM18 juta untuk membantu pendidikan.

“Setakat ini, tahun 2024 sejumlah hampir 2,000 pelajar kita bantu mendapatkan dermasiswa, one off, tiket penerbangan dan bantuan pendaftaran ke universiti masing-masing.

“Ini antara yang diusahakan oleh MUIS semoga dengan bertambahnya lagi bayaran zakat dan kesedaran membayar zakat, akan bertambahlah kita dapat membantu anak-anak kita dalam bidang pendidikan.

“Jadi, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Muis dan juga kepada semua pembayar zakat untuk negeri Sabah ini kerana dengan itu mereka dapat membantu anak-anak kita sama ada zakat perniagaan, zakat penggajian yang paling banyak dan zakat-zakat yang lain,” ujar Arifin.

Beliau ditemui media ketika menyantuni 14 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Jordan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pada Rabu.

Mengenai insiden menurunkan Jalur Gemilang yang tular baru-baru ini, Arifin berpesan agar para pelajar tersebut terus fokus dalam pengajian dan tidak terpengaruh dengan anasir yang mampu mengganggu keharmonian negara.

“Saya harap para pelajar ini tumpu fokus kepada pelajaran dan tidak terlibat dalam perkara-perkara berkenaan.

“Kita sekarang berada dalam keadaan aman, baik dan hubungan negeri Sabah dengan Persekutuan amat bagus dan kerja sama ini perlu kita teruskan,” kata beliau.

Turut hadir dalam program tersebut Timbalan Yang Dipertua Muis Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri Sabah (Jheains) Jumain Abdul Ghani. — JABATAN PENERANGAN SABAH