Pelaksanaan Bulan Wakaf Tiap Tahun, Capai Objektif Membangun Institusi Wakaf di Sabah

Pelaksanaan Bulan Wakaf Tiap Tahun, Capai Objektif Membangun Institusi Wakaf di Sabah

0
SHARE

BEAUFORT: Pelaksanaan Bulan Wakaf yang dilaksanakan Bahagian Wakaf Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berupaya membantu menyebar luas kefahaman serta kesedaran kepada masyarakat terhadap ibadah wakaf.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, bulan wakaf yang dilaksanakan pada September setiap tahun itu juga mampu mencapai objektif MUIS dalam membangunkan institusi wakaf di negeri ini.

“Kita melihat wakaf itu adalah meluas. Wakaf ini secara meluasnya bukan semata-mata sebidang tanah, bangunan, tetapi ianya juga boleh dilakukan oleh jawatankuasa masjid. Di mana mereka boleh mewujudkan satu tabung, dinamakan di situ Wakaf.

Jadi maknanya di sini apabila masyarakat atau para jemaah datang ke masjid, sudah tentu mereka berazam untuk menabung ataupun memberi wakaf itu dan mereka akan melihat pelaksanaan wakaf ini sama ada ianya menjadi satu kenyataan ataupun sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Forum Wakaf : “Wakaf Pemangkin Ekonomi Ummah” di Masjid Al Ghafar Kampung Luagan di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, menerusi kempen yang dilaksanakan Bahagian Wakaf MUIS itu juga mampu menyelesaikan masalah-masalah wakaf yang tidak didaftarkan sebelum ini.

“Sebelum ini banyak isu timbul mengenai wakaf, Contoh isu bangunan-bangunan yang dibina tanah tidak di wakaf. Jadi apabila pemilik tanah sudah tidak ada maksudnya meninggal dunia, para pewaris tidak mahu di wakafkan tanah itu.

“Jadi ini juga menyukarkan kerajaan khususnya kita di bahagian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan MUIS kerana bertanggungjawab di atas wakaf yang telah diberi,” katanya.

Justeru Ruslan berharap penganjuran program-program sepanjang Bulan Wakaf Negeri Sabah pada tahun ini, akan dapat mendekatkan diri bersama masyarakat di dalam usaha untuk menyebarkan kefahaman berkaitan ibadah wakaf.