KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya akan meneliti dan membincangkan semula kadar gaji penjawat awam setelah ‘kantung’ kewangan negara semakin baik dan defisit kewangan dapat dikurangkan.
Beliau mengakui merasa tidak berpuas hati mengenai kadar gaji semasa penjawat awam buat masa ini jika dibandingkan beban tugas yang dipikul mereka.
“Kalau kantung bertambah baik, defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji). Sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik, antaranya di negeri, kemudian hasil bertambah, proses itu boleh dipercepatkan.
“Cuma untuk hari ini, saya fikir sukarlah. Itu nanti kita bincang dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar ketika ditanya pemberita berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah, beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada barisan pemimpin negeri ini untuk membuat keputusan mengenainya.
“Kedudukan kita ialah kita jemput semua pihak, tapi saya fikir berdasarkan apa yang dialami kerajaan negeri (kemelut politik) sebelum ini, saya serahkan kepada kebijaksanaan negeri untuk bincang dan putuskan,” katanya.





