GreenSteps UMS Tingkat Kesedaran Kesihatan Mental dan Gaya Hidup Sihat

GreenSteps UMS Tingkat Kesedaran Kesihatan Mental dan Gaya Hidup Sihat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas impak kesejahteraan komuniti menerusi pelaksanaan program “GreenSteps: Journey to a Healthier Life” yang berlangsung di Rumah Anak Yatim (RAY), Tambunan, baru-baru ini.

Program anjuran pelajar tahun akhir Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPSK), UMS itu memberi penekanan terhadap aspek kesihatan mental, amalan gaya hidup sihat serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan remaja.

Penyelaras program, Profesor Madya Dr. Getrude Cosmas berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam situasi sebenar.

Pendekatan pembelajaran melalui Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) membantu membentuk mahasiswa yang lebih prihatin, berempati dan mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.

“Antara pengisian program termasuk sesi ceramah dan demonstrasi pertolongan cemas oleh sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Keningau yang diketuai oleh Albinus Gimbang,” katanya.

Menurut beliau, program berkenaan merupakan inisiatif yang digerakkan oleh pelajar Program Pembangunan Belia dan Komuniti serta Program Psikologi Industri dan Organisasi sebagai sebahagian daripada pelaksanaan SULAM menerusi kursus PB30803: Sikap dan Perubahan Sikap.

“Turut bekerjasama menjayakan program adalah Kementerian Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI Sabah), U-Science UMS serta Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program, Ivy Lilysha Eh Hoon berkata, pendekatan santai dan interaktif yang digunakan sepanjang program berjaya menarik minat peserta untuk memahami kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental.

“Seramai 64 peserta terdiri daripada pelajar tahun enam hingga tingkatan lima menyertai program ini dan pelbagai aktiviti berstruktur dilaksanakan bagi memupuk sikap positif terhadap penjagaan kesihatan diri, kesejahteraan emosi serta tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, peserta turut berpeluang mengikuti ceramah psikologi bertajuk ‘Emosi Itu Normal: Jom Kenali Perasaan Kita’ yang disampaikan oleh pensyarah UMS, Dr. Norafifah Bali.

“Ceramah tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan memahami emosi, pengurusan tekanan dan pembinaan keyakinan diri dalam kehidupan seharian.

“Pada sebelah petang, peserta turut terlibat dalam aktiviti hijau yang memberi penekanan kepada amalan kitar semula dan aktiviti berkebun sebagai usaha membudayakan gaya hidup lestari dalam kalangan generasi muda,” tambahnya.