PENAMPANG, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini secara rasminya memulakan kolaborasi politik yang dikenali sebagai BERSATU-SOLIDARITI (BEST).
Kedua-dua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pada upacara yang diadakan di Unity Hall, Hongkod Koisaan KDCA, di sini, petang kelmarin.
MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan President PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, bersama Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki bagi pihak PBS, dan Presiden STAR SABAH, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu bagi pihak STAR.
Ia disaksikan oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Bercakap kepada pemberita selepas upacara tersebut, Joachim dan Jeffrey sependapat bahawa BEST akan memperkukuhkan bukan sahaja kedudukan kedua-dua parti tetapi juga GRS.
“BEST bukan satu ancaman kepada rakan-rakan lain dalam GRS tetapi memperkukuhkan kedudukan GRS terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Bila kita kuatkan GRS, GRS akan kuatkan kita,” kata mereka.
Jeffrey menjelaskan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS turut memberikan sokongan 100 peratus kepada kerjasama ini.
Joachim pula berkata, pada asasnya, BEST bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama politik antara PBS dan STAR.
“Itu tujuan utama sebenarnya. Selain itu, kita juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu-isu utama untuk kepentingan rakyat Sabah.
“Saya ingin menegaskan bahawa matlamat kami pada asasnya adalah juga untuk kemenangan GRS secara keseluruhan,” katanya.
Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga sependapat bahawa PBS dan STAR perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu yang bukan sahaja merugikan mereka tetapi juga rakyat dan negeri ini.
“Kerana tiada persefahaman pada pilihan raya lalu, kita hanya menang 13 kerusi…kali ini, kita boleh menang tiga kali ganda,” kata Jeffrey.
“Kita menandatangani MoU ini untuk memastikan kita tidak mengulangi kesilapan kita dan kita dapat mencapai aspirasi rakyat.
“Kita akan dapat menghasilkan suatu perkara yang positif dan mencapai perjuangan kita bersama,” kata Joachim.
Menerusi jawatankuasa khas yang diwujudkan, BEST sedang mengkaji kerusi-kerusi baharu yang akan ditandingi pada pilihan raya akan datang.
PBS mempunyai tujuh kerusi, manakala STAR memiliki enam kerusi.