MISHIMA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan National Institute of Genetics (NIG), Jepun menggabungkan kepakaran dalam bidang genomik dan teknologi penyelidikan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan serta pemanfaatan kekayaan biodiversiti Sabah secara lestari.
Kerjasama strategik menerusi Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun di kampus NIG, Jepun, baru-baru ini.
Majlis berkenaan menyaksikan NIG diwakili Ketua Pengarahnya, Dr. Shigeru Kondo, manakala UMS diwakili Pengarah IPB, Prof. Dr. Jualang@Azlan Gansau Abdullah bagi pihak Naib Canselor UMS.
Jualang berkata, kerjasama itu berpotensi menjadi jambatan penting dalam menghubungkan kekayaan sumber biologi Sabah dengan kepakaran dan keupayaan penyelidikan berteknologi tinggi yang dimiliki NIG.
“Bidang seperti genetik biodiversiti, genomik, penyelidikan mikrob dan pemuliharaan sumber genetik boleh mendapat manfaat melalui kolaborasi pengetahuan serta sumber yang dimiliki dengan kepakaran antarabangsa yang khusus, di samping memperkasa keupayaan penyelidik kita dalam bidang-bidang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu turut membuka peluang kepada penyelidik UMS memanfaatkan infrastruktur pengkomputeran canggih NIG, termasuk kemudahan superkomputer berprestasi tinggi bagi menyokong penyelidikan genomik dan analisis molekul.
Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuk penyelidikan bersama, permohonan geran, penerbitan ilmiah, penyertaan persidangan serta program penempatan penyelidik dan pelajar pascasiswazah.
Pada masa sama, IPB akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Sabah bagi memastikan data dan maklumat saintifik daripada penyelidikan sumber biologi negeri diurus secara bertanggungjawab serta terselaras.
Langkah itu penting bagi memastikan hasil penyelidikan biodiversiti Sabah dapat dimanfaatkan secara lebih meluas sebagai asas perancangan pemuliharaan dan penggunaan sumber biologi secara lestari pada masa hadapan.
“Bagi IPB dan UMS, MoU tersebut bukan sekadar perjanjian rasmi antara dua institusi, sebaliknya menjadi platform untuk penyelidik dari Sabah dan Jepun berkongsi pengetahuan, memperkukuh kapasiti penyelidikan serta bekerjasama menangani cabaran saintifik yang melangkaui sempadan projek secara individu,” katanya.






