KOTA KINABALU, SABAH – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ataupun ‘Lockdown’ semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kes jangkitan yang semakin bertambah di negeri ini, demikian menurut Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata; “Ini kerana dahulu kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada PKPD kerana vaksin belum wujud.”
“Virus COVID-19 sudah berada dalam komuniti dan ini bermakna makin mudah dan makin ramai orang yang akan dijangkiti…
“Saringan secara besar-besaran yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuktikan andaian ini.
“Makin banyak saringan dibuat makin ramai kes positif baharu yang ditemui. Dahulu, jangkitan di lokalisasikan dan jumlahnya tak banyak,” jelasnya.
Beliau mengingatkan bahawa Saringan Kontak Rapat sudah menjadi kumpulan tertinggi kes harian iaitu 60% pada 30 Julai 2021 di mana Sabah mencatatkan jumlah kes harian tertinggi setakat tahun ini dengan 1,066 KES.
“Kontak Rapat ini pula adalah jaringan kawan-kawan mereka sendiri…
“Mereka mungkin telah menjangkiti kawan-kawan mereka yang lain pula. Ini mengakibatkan bilangan kes harian berganda, yakni kesan ‘multiplier effect’,” kata beliau.
Hasilnya, bilangan positif baharu COVID-19 semakin naik kerana semakin luas medan saringan yang perlu dibuat oleh JKNS.
“Apabila virus COVID-19 sudah berada dalam komuniti, ‘lockdown’ bukan lagi kaedah yang berkesan untuk mengekang penularan…
“Setiap daripada kita secara tidak sedar berkemungkinan sudah menjadi pembawa virus tidak kira jika sudah divaksin atau pun belum.
“Kita boleh menjangkiti orang-orang di sekeliling kita walaupun kita berada dalam suasana ‘lockdown’ atau tinggal di kawasan di bawah PKPD,” ujar beliau.
“Tapi sekarang jangkitan berada dalam komuniti dan ‘lockdown’ atau PKPD secara berterusan hampir melumpuhkan ekonomi kita. Banyak syarikat ‘gulung tikar’ atau rugi besar. Ramai penduduk kita hilang punca pendapatan dan sekarang bergantung kepada bantuan Kerajaan…
“Mereka mahu berkerja semula untuk menyara keluarga mereka, tetapi kemampuan Kerajaan untuk terus memberi bantuan dan subsidi sudah terhad.
“Kita perlu mengimbangi kehidupan dan mata pencarian,” tambah Masidi lagi.
Masidi berkata kunci melawan dan mengurus pandemik ini adalah pematuhan SOP dan meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan penduduk.
Kapasiti JKNS untuk memberi vaksin kini sudah sampai ke tahap 50 ribu dos sehari dan akan dipertingkatkan hingga ke sekitar 60 ribu dos sehari bergantung kepada stok vaksin negeri.
“Rakyat sudah agak lesu dalam keadaan terkurung dan mungkin sudah agak lalai mematuhi SOP.
“Pematuhan SOP secara menyeluruh membantu kita mengelak daripada dijangkiti.
“Vaksinasi memberi kita kekebalan daripada jangkitan virus sehingga 90 peratus.
“Ini bermakna kita masih boleh dijangkiti tetapi kesannya agak ringan dan tidak mengancam nyawa sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital,” kata Masidi.
Mengulas lebih lanjut beliau berkata PKPD yang berterusan adalah sekadar satu kaedah dan bukan satu-satunya jalan keluar daripada jangkitan yang bertambah.
“Peningkatan kadar vaksinasi dikalangan penduduk Sabah bagi membolehkan kita mencapai kelompok imuniti dan penguatkuasaan pematuhan SOP secara berkesan terbukti lebih berkesan menurunkan jumlah jangkitan setiap hari dalam suasana jangkitan yang sudah berubah…
“Apa yang perlu ialah bekalan vaksin yang cukup dan jadual penghantaran yang tidak terganggu,” tegasnya.