BEAUFORT: Tiga individu dilaporkan terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi, sekali gus mencetuskan operasi kecemasan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, PPgB Ishak Jabas berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.56 petang.
“Sejurus menerima panggilan, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Beaufort digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
“Maklumat awal yang diterima memaklumkan terdapat tiga mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dan pasukan bomba sedang dalam perjalanan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat serta mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity bagi membantu pengurusan insiden serta memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Katanya, maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa dan operasi akan dikemas kini selepas pasukan bomba selesai membuat penilaian di lokasi kejadian.






