KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, akan bercuti sementara daripada jawatannya selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu meluluskan permohonan beliau untuk mengundurkan diri daripada tugas berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP pada Khamis selepas meneliti permohonan dan mendengar pandangan Nurul Izzah serta barisan kepimpinan parti.
Menurutnya, MPP bersetuju memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Sehubungan itu, MPP memutuskan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam perkembangan sama, MPP turut memutuskan jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR akan digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Amirudin Shari.
Fahmi berkata, Nurul Izzah bagaimanapun akan tetap merasmikan Kongres Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 14 Ogos 2026 sempena Kongres Nasional PKR 2026.
Selain itu, beliau memaklumkan MPP meluluskan kemasukan 3,533 anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026.
Dalam kenyataan sama, MPP turut menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan serta merakamkan penghargaan kepada semua petugas parti yang terlibat sepanjang kempen.
MPP turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas khidmat cemerlang beliau sepanjang dua penggal menerajui pentadbiran negeri.






