KUALA LUMPUR: Drama bersiri Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) terus mencuri perhatian penonton apabila mengangkat isu sensitif rumah tangga menerusi perspektif berbeza – persoalan sama ada “tidak semua penyondol itu jahat.”
Naskhah arahan Sharul Ezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Budakijat itu mula bersiaran pada 4 Februari lalu dan sejak itu menjadi perbualan hangat di media sosial dari episod ke episod.
Dikenali dengan gaya penceritaan yang berani dan sarat kejutan, Budakijat sekali lagi membuktikan sentuhannya tidak pernah biasa. Seorang netizen, Nailofar Annuar, memuji karya pengarah itu dengan menyatakan, “Kalau cerita Sharul Ezad memang tak pernah tak menarik dan special.”
Menurut Budakijat, penonton perlu mengikuti drama ini sehingga ke penghujung untuk memahami mesej sebenar yang ingin disampaikan.
“Jika mahu tahu kena tonton kerana anda akan menemukan banyak kejutan dan pengajaran dalam naskhah ini,” katanya.
Isu ‘tak semua penyondol jahat’ menjadi antara tarikan utama STEN, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang menyokong pendekatan tersebut, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan logik dan moral yang diketengahkan.
Seorang pengguna media sosial, Izz Aiddah Izzi, meluahkan rasa kurang setuju terhadap jalan cerita yang dianggapnya tidak masuk akal, terutama berkaitan watak suami yang berkahwin lagi atas alasan tertentu. Sementara itu, komen sinis daripada pengguna realmokhsz9 yang menyatakan, “Penyondol ni dah jadi hantu pun tetap jahat,” turut mencuit perhatian ramai.
Antara adegan yang menjadi tular ialah dialog konfrontasi antara watak Alisa lakonan Trisha Ooi, Norman lakonan Aidil Aziz dan Emma yang dibawakan oleh Sharifah Sakinah.
Dalam babak tersebut, Alisa mempertahankan tindakannya dengan menyatakan tidak semua ‘penyondol’ berniat jahat, sebaliknya berasa simpati terhadap Norman yang didakwa tidak dihormati isterinya yang terlalu obses dengan kejayaan dunia. Namun, Emma membalas dengan tegas:
“Kau guna alasan untuk halal niat kau dan sondol suami aku.”
Dialog beremosi itu sekali gus mengundang perdebatan lebih luas mengenai isu poligami, tanggungjawab suami serta kedudukan wanita dalam rumah tangga.
Drama terbitan Radius One ini menampilkan 28 episod yang mengangkat tema keagamaan, hubungan kekeluargaan dan pengorbanan. STEN disiarkan setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza, jam 9 malam di Astro Ria.
Selain siaran televisyen, penonton juga boleh menonton drama ini secara penstriman menerusi platform Astro GO dan Sooka.
Dengan plot yang berani menyentuh isu sensitif serta lakonan mantap barisan pelakon, STEN dilihat bukan sekadar drama biasa, sebaliknya cerminan konflik realiti yang mengundang renungan mendalam dalam kalangan penonton.






