KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat masih mempunyai pengaruh kuat dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun gabungan itu mula mengetengahkan calon baharu bagi jawatan Perdana Menteri.
Penganalisis politik, Dr Syaza Shukri, berkata pengaruh Muhyiddin jelas menerusi pelantikan pengerusi PN negeri yang baharu, yang kebanyakannya dilihat sebagai individu rapat dengannya, sekali gus mencerminkan kekuatan politik beliau dalam gabungan itu.
Pada masa sama, PAS juga memahami kepentingan Bersatu terutama di negeri di luar pentadbiran parti itu.
Pelantikan seperti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Sahruddin Jamal dilihat mengukuhkan lagi kedudukan Muhyiddin dalam PN.
Dalam perkembangan sama, PN dilihat mula meletakkan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri selepas dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
Namun, laluan beliau tidak mudah kerana masih memerlukan penerimaan dalam kalangan dalaman PAS serta sokongan akar umbi.
Seorang lagi penganalisis, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, menyifatkan Samsuri sebagai calon kompromi yang mampu menjadi simbol penyatuan PN, namun kejayaannya bergantung kepada sokongan dalam PAS serta keupayaan menarik undi di luar kawasan tradisi parti itu.






