MEMBAKUT: Seramai 55 pelajar tingkatan lima bersama tiga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut II dilaporkan mengalami keracunan makanan, dipercayai selepas memakan pek makanan yang disediakan katerer dalam satu program sekolah pada Rabu lalu.
Ketua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Awang Hazim Awang Basir berkata, mereka mengadu cirit-birit, muntah dan sesak nafas ketika menduduki suatu peperiksaan percubaan.
“Kesemua 55 pelajar itu bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Sebelum mengalami simptom itu, mereka menyertai program sekolah anjuran Yayasan Sabah pada Selasa untuk mereka mempelajari teknik menjawab soalan SPM.
“Pihak sekolah telah mendapatkan perkhidmatan katering untuk menyediakan pek makanan kepada pelajar dan guru. Sebaik menerima aduan, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Membakut untuk rawatan,” katanya memetik laporan Daily Express di sini, hari ini.
Daripada 55 pelajar termasuk tiga anaknya berusia 13, 15 dan 17 tahun, 41 dan tiga guru itu mengalami simptom ringan manakala selebihnya mengalami simptom sederhana dan lapan diberikan titisan IV selama beberapa jam di klinik sebelum semua pelajar dibenarkan pulang sekitar tengah hari Rabu.
Katanya lagi, anaknya, Muhammad Fauzan Adli berusia 17 tahun yang turut menyertai program itu, memberi dua pek makanan sama kepada dua adiknya iaitu Hikmahtun Najihah, 15, dan Mohd Najib Naufal, 13, yang mengakibatkan mereka turut menderita keracunan makanan.
Menurutnya, pegawai Jabatan Kesihatan Sabah telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mereka datang ke sekolah berkenaan untuk menyiasat kejadian tersebut serta mengambil sampel pada Rabu.
Sementara itu, Exco Pendidikan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif memaklumkan kepada media bahawa beliau sedang menunggu laporan penuh daripada pengetua sekolah berkenaan mengenai kejadian itu.