Dua Maut, Satu Cedera Dalam Kemalangan Ngeri di Jalan Tambunan-Penampang

Dua Maut, Satu Cedera Dalam Kemalangan Ngeri di Jalan Tambunan-Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Dua lelaki tempatan maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter di KM 43 Jalan Tambunan-Penampang, berhampiran kawasan Gunung Emas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan tersebut berlaku pada jam lebih kurang 9.40 malam ketika kenderaan yang dipandu oleh mangsa berusia 54 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Tambunan menuju ke Penampang.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung. Pemandu bersama seorang penumpang lelaki berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, seorang lagi penumpang lelaki berusia 29 tahun yang turut berada dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133.

Dalam masa yang sama, pihak polis menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, terutama di laluan curam dan berbukit seperti Jalan Tambunan-Penampang.

“Orang ramai juga diminta untuk tidak menularkan sebarang gambar atau video berkaitan kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” tambah beliau.