PAS Sabah Gesa Marhamah Letak Jawatan Jika Terbukti Terlibat Fahaman New Age...

PAS Sabah Gesa Marhamah Letak Jawatan Jika Terbukti Terlibat Fahaman New Age Movement

0
SHARE

KOTA KINABALU: PAS Sabah menggesa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan penglibatan atau sokongannya terhadap fahaman New Age Movement (NAM).

Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, sekiranya dakwaan itu terbukti dan Marhamah enggan berundur, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan menyingkirkannya daripada jawatan berkenaan.

“Isu yang mengaitkan beliau dengan fahaman berkenaan bukan perkara remeh, apatah lagi apabila ia melibatkan seorang pemimpin yang memegang amanah dalam portfolio hal ehwal agama.

“Jawatan tersebut menuntut komitmen yang jelas dalam memelihara kesucian akidah serta keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan agama negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Aliakbar berkata, PAS Sabah mengambil maklum penafian dan penjelasan yang dikemukakan berhubung isu berkenaan, namun berpandangan penelitian menyeluruh berdasarkan bukti sahih dan disiplin ilmu perlu dilaksanakan pihak berkuasa agama.

“Sekiranya dakwaan tersebut terbukti, peletakan jawatan merupakan langkah yang wajar. Jika beliau enggan berbuat demikian, Perdana Menteri hendaklah mengambil tindakan menyingkirkan beliau daripada jawatan tersebut,” katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Ahad mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan NAM.

Sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah Jakim dan pihak berkaitan bagi meneliti isu berkenaan dari sudut akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.

Dalam pada itu, Aliakbar berkata perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) menyebabkan pelbagai fahaman kerohanian mudah tersebar menerusi istilah seperti pembangunan diri, motivasi dan pencarian ketenangan jiwa.

Katanya, generasi muda di Sabah khususnya perlu dilindungi daripada kekeliruan yang boleh menggugat pegangan akidah mereka.

Beliau turut menegaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang telah diwartakan di Sabah perlu terus dipertahankan sebagai panduan umat Islam, termasuk dalam aspek akidah dan tauhid, fikah dan syariah serta tasawuf.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, masjid dan ibu bapa perlu memperkukuh pendidikan akidah serta membimbing generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“PAS Sabah tidak berhasrat menjadikan isu ini medan fitnah atau menghukum sesiapa berdasarkan persepsi. Namun, ketegasan mempertahankan akidah mesti disertai tindakan yang jelas apabila sesuatu pelanggaran dibuktikan.

“Penjelasan mesti diberikan, penelitian mesti diselesaikan dan tanggungjawab mesti dipikul,” katanya.