KOTA KINABALU: Tuduhan kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membayar “cyber troopers” untuk menyerang seorang individu dikenali sebagai Amy Dangin di media sosial adalah tidak berasas dan bersifat fitnah jahat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, dakwaan yang tular menerusi tangkap layar satu hantaran di Facebook atas nama Amy Dangin itu jelas berniat jahat serta cuba mengaitkan kepimpinan negeri dengan politik persepsi.
“Saya memandang serius tuduhan liar dan fitnah jahat yang dilemparkan oleh Amy Dangin yang beberapa kali cuba mengaitkan YAB Ketua Menteri Sabah dengan dakwaan kononnya membayar ‘cyber troopers’ untuk menyerang beliau di media sosial.
“Tuduhan ini jelas tidak berasas dan berniat jahat. Hakikatnya DSP Hajiji sentiasa fokus kepada agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Beliau tidak pernah mengamalkan politik sempit untuk menyerang peribadi mana-mana pihak, sesuai dengan karakter beliau sebagai seorang pemimpin yang berhemah dan berhikmah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Azrul, satu lagi tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular sebelum ini dan cuba mengaitkan namanya dengan gerakan melemahkan parti politik tertentu juga adalah tidak benar.
“Sebelum ini turut tular tangkap layar perbualan WhatsApp antara beliau dengan seseorang yang cuba mengaitkan nama saya dengan gerakan melemahkan parti politik tertentu.
“Saya menegaskan bahawa perkara tersebut juga adalah tidak benar dan merupakan satu lagi cubaan untuk mencetuskan persepsi negatif serta mengeruhkan suasana politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih.
“Saya ingin menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial. Hentikan penyebaran fitnah, tohmahan dan maklumat tidak benar yang hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat.
“Fokus kita seharusnya adalah kepada usaha membina negeri Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera bukannya terperangkap dalam permainan persepsi dan politik kebencian,” katanya.






