Bunuh Suami Buta, Isteri Dan Adik Didakwa Di Mahkamah

Bunuh Suami Buta, Isteri Dan Adik Didakwa Di Mahkamah

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KAJANG, SELANGOR – Seorang wanita dan adik lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini  hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya yang buta, di Kampung Baru Sungai Chua di sini, awal bulan lalu.

Pengusaha sebuah kedai makan G.S Angela Dewi, 45, dan adiknya G.S Vijaya, 42, yang merupakan pembantu kedai makan, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah, di hadapan Majistret  Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka  didakwa dengan niat secara bersama dengan sengaja membunuh R. Devarajoo, 59, di sebuah rumah di Lorong Jati 1, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua di sini, antara pukul 12 hingga 1 tengah hari, pada 1 Okt lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon tarikh sebutan, bagi menyerahkan dokumen dan laporan berkaitan kes selain tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak diikat jamin dan menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan menerusi kenyataan media semalam berkata mangsa telah mengalami cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul menggunakan tukul dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari pada 1 Okt lepas.

Katanya, mangsa kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang dan  meninggal dunia pada 10 Okt lalu. Mohd Zaid berkata pengadu iaitu isterinya sendiri membuat satu laporan polis kononnya suaminya telah disamun semasa berada di hadapan rumah mereka di kampung itu dan rantai leher emas milik mangsa telah dilarikan.

“Hasil siasatan lanjut polis mendapati, isteri kepada mangsa disyaki telah merancang dan membunuh mangsa bersama dengan adik lelakinya, untuk mendapatkan harta mangsa,” kata Mohd Zaid.

Difahamkan, mangsa dan isterinya telah berkahwin selama 13 tahun dan mangsa merupakan pengusaha perniagaan lori serta besi buruk, yang membabitkan aliran tunai perniagaan lebih RM2 juta.