KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan 21.1 peratus (21.1%) bersamaan lebih 400,000 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun di negeri ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat kelmarin (19 Mac).
Peratusan itu mewakili 86,797 kanak-kanak, menjadikan negeri ini antara paling rendah kadar vaksinasi kanak-kanak menjelang pembukaan sesi persekolahan 2022 / 2023, esok.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata hanya seramai 1,299 kanak-kanak menerima vaksin kelmarin.
“Berdasarkan data Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Sabah, seramai 6,126 orang menerima vaksin COVID-19 di seluruh negeri semalam…
“Daripada jumlah ini, seramai 4,726 orang adalah penduduk dewasa, 101 orang remaja dan 1,299 orang adalah kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah adalah antara golongan yang ramai dijangkiti COVID-19 di Sabah dengan 52 orang direkodkan daripada 421 kes jangkitan baharu semalam.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 24 orang adalah kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, diikuti kanak-kanak berumur antara setahun hingga empat tahun (19 orang) dan bayi berumur bawah setahun seramai sembilan orang.
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata situasi jangkitan COVID-19 mula menunjukkan penstabilan berikutan penurunan kes sehingga di bawah 500 semalam.
Katanya, andaian itu juga berdasarkan bilangan daerah mencatat satu angka semalam yang banyak iaitu 13 daerah, manakala daripada 11 daerah mencatat kes dua, hanya lima daerah mencatat lebih 20 kes dengan jumlah tertinggi sebanyak 55 kes di Tuaran.
“Kota Kinabalu satu-satunya daerah yang masih mencatat kes baharu tiga angka (104 kes) tetapi berkurangan 44 kes berbanding jumlah kelmarin. Lahad Datu dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu semalam,” katanya.
Masidi berkata, jumlah kes baharu yang lebih rendah semalam juga banyak dipengaruhi penyusutan pada skala besar di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, Beaufort, Papar dan Tawau.