TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita lima unit tong gas petroleum cecair (LPG) yang dipercayai dimiliki tanpa permit dalam operasi di sekitar Jeti CIQ Lama Tawau, pada Khamis.
Kes itu dikesan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) selepas sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Tawau menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berdasarkan maklumat risikan kira-kira jam 10.54 pagi.
KPDN Tawau dalam kenyataan berkata, pemeriksaan di kawasan berkenaan menemukan lima tong LPG jenama MyGaz.
“Pasukan pemeriksaan gagal menemui sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berhubung pemilikan barang kawalan tersebut,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.
Susulan penemuan berkenaan, semua tong LPG terbabit disita untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM533.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Menurut KPDN, jika disabitkan kesalahan, pesalah bagi kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berikutnya, pesalah berdepan denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“KPDN Tawau menegaskan komitmen untuk terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang, khususnya berkaitan kawalan barang serta ketelusan maklumat harga kepada pengguna,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku perdagangan turut digalakkan menyalurkan aduan kepada KPDN menerusi saluran rasmi yang disediakan.






