SANDAKAN: Empat lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah menceroboh dan menebang pokok tanpa kebenaran di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Tertuduh, Nasir Abdullah, Parihin Ariffin, Arif Ariffin dan Firman Tompo yang kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat tertuduh didapati menebang pokok tanpa kebenaran sah di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan Lot 4, kira-kira jam 11.31 pagi, Selasa lalu.
Pada waktu dan lokasi sama, mereka turut didapati menceroboh kawasan santuari berkenaan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(1)(a) dan Seksyen 15(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, yang boleh dihukum di bawah pindaan Subseksyen 17(3) dan 15(4) serta Seksyen 96(7) enakmen sama.
Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.






