TUARAN: Sebahagian kawasan di daerah Tuaran berpotensi dimasukkan dalam Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) susulan penemuan ciri geologi unik, biodiversiti yang kaya serta warisan budaya dan pengetahuan komuniti yang bernilai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri kini sedang meneliti cadangan perluasan KUGGp ke daerah itu berdasarkan penemuan awal Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang dilaksanakan pada April tahun lalu.
“Aset-aset ini wajar dikaji dan didokumentasikan dengan teliti serta, jika bersesuaian, dimasukkan dalam kerangka pemuliharaan dan pembangunan mampan yang lebih luas bagi memperkukuh keterhubungan ekologi dan ekopelancongan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Misi Penilaian Semula KUGGp di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.
Ketika ini, KUGGp merangkumi kawasan seluas kira-kira 4,750 kilometer persegi melibatkan Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.
Menurut Hajiji, pengurusan kawasan yang luas serta melibatkan pelbagai bidang kuasa pentadbiran dan komuniti memerlukan strategi jangka panjang yang jelas dan terselaras.
Sehubungan itu, Pelan Pengurusan Kinabalu UNESCO Global Geopark 2026–2035 diperkenalkan bagi menggantikan Pelan Pengurusan Interim 2021–2025.
“Pelan baharu ini mengintegrasikan tonggak utama geopark, iaitu pemuliharaan sumber, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi, dan akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pembinaan asas, pemecutan dan transformasi, berpandukan sembilan tema strategik menuju 2035,” katanya.
Hajiji berkata, Misi Penilaian Semula KUGGp yang bermula 10 Ogos lalu bukan sekadar bertujuan mengekalkan pengiktirafan UNESCO, tetapi menjadi peluang memperkukuh institusi dan pengurusan serta meningkatkan penyertaan komuniti.
Katanya, aspirasi Kerajaan Negeri adalah menjadikan KUGGp sebagai model pengurusan landskap bersepadu yang diiktiraf di peringkat global menjelang 2035 dengan pemuliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan pembangunan ekonomi mampan bergerak seiring.
“Pengiktirafan antarabangsa ini perlu diterjemahkan kepada pemuliharaan yang lebih kukuh, pendidikan yang lebih baik, komuniti yang berdaya tahan serta peluang ekonomi yang lebih adil untuk rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata, struktur tadbir urus KUGGp turut diperkukuh melalui beberapa jawatankuasa yang memberi tumpuan kepada infrastruktur dan pemerkasaan komuniti, pemuliharaan dan geopelancongan, pelancongan dan promosi serta jaringan dan kerjasama.
Pendekatan itu membolehkan keperluan pembangunan setempat dikenal pasti dengan lebih berkesan selain memperluaskan Program Jangkauan Geopark, Kem Geopark, Rakan Geopark dan Sekolah Geopark.
Hajiji menegaskan, status UNESCO tidak seharusnya sekadar membawa prestij antarabangsa, sebaliknya mesti memberi manfaat langsung kepada masyarakat melalui geopelancongan, perusahaan berasaskan komuniti, pembangunan produk tempatan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.
“Bagi KUGGp, ini bermakna memperluaskan akses pasaran, memperkukuh keusahawanan tempatan, menambah baik infrastruktur yang bersesuaian serta memastikan komuniti menjadi rakan kongsi aktif dalam mencorakkan pembangunan, bukan sekadar penerima manfaat secara pasif,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan juga selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 untuk membentuk Sabah yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada penilai UNESCO, Dr Zhang Yuanhai dan Dr Atsuko Niina serta semua agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan komuniti yang terlibat dalam Misi Penilaian Semula KUGGp 2026.
Setiap UNESCO Global Geopark menjalani penilaian semula setiap empat tahun bagi memastikan kawasan berkenaan terus memenuhi piawaian, prinsip dan tanggungjawab yang ditetapkan UNESCO.






