KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) akan meneliti cadangan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memacu pembangunan sektor ekonomi maritim negeri.
Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah berkata, teknologi AI mempunyai potensi dan impak besar khususnya dalam pembangunan ekonomi biru berasaskan sumber laut, selari dengan perancangan agensi itu membangunkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (KBEIP).
“Saya akan memanggil satu mesyuarat khas dengan pengurusan tertinggi SEDCO berhubung cadangan UMS, sesuai dengan komitmen agensi ini menerusi projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat (KBEIP),” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi UMS, pada Khamis.
Delegasi UMS diketuai Penolong Naib Canselor, Prof Dr Rayner Alfred bersama Prof Madya Dr Mohammad Puad Damit yang mengemukakan cadangan jaringan kerjasama inovasi AI antara universiti berkenaan dengan SEDCO.
Masiung berkata, penubuhan Malaysia AI Centre of Excellence (MaiCoE) oleh UMS berpotensi memainkan peranan signifikan dalam menghasilkan pelbagai inovasi berkaitan ekonomi maritim, selain menyokong pendigitalan sektor pelancongan pesisir dan kepulauan.
Menurutnya, SEDCO sebagai antara agensi pelaburan Kerajaan Negeri akan meneliti kepakaran dan teknologi yang dimiliki UMS untuk disesuaikan dengan program pembangunan agensi berkenaan yang sedang serta bakal dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, SEDCO kini sedang menyusun kerangka pembangunan bagi meletakkan Sabah sebagai hab ekonomi maritim dengan Kudat memainkan peranan penting dalam agenda berkenaan.
Katanya, pembangunan KBEIP dirancang berteraskan teknologi hijau dan pemanfaatan sumber laut bagi membangunkan industri ekonomi biru yang berdaya saing.
Justeru, kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi seperti UMS dilihat mampu menggabungkan kepakaran akademik, inovasi dan teknologi dengan perancangan pembangunan industri SEDCO, sekali gus memperkukuh potensi ekonomi maritim Sabah.






