Polis Tahan Lelaki Warga Asing Bersama Syabu Bernilai Lebih RM5,000

Polis Tahan Lelaki Warga Asing Bersama Syabu Bernilai Lebih RM5,000

0
SHARE
Gambar Hiasan

TAWAU: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau menahan seorang lelaki warga asing di sekitar kawasan Kampung Vietnam dan merampas dadah jenis syabu yang bernilai lebih RM5,000 di pasaran, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan melibatkan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 41 tahun dilakukan sepasukan pegawai dan anggota BSJND, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau pada jam 10.40 pagi. 

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari BSJND, IPD Tawau telah membuat serbuan di tepi sebuah rumah tidak bernombor di sekitar kawasan kampung Vietnam, Tawau.

“Pihak polis kemudian menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan yang berada di tepi rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut, suspek telah menyerahkan satu bungkus paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 51.57 gram dengan harga pasaran berjumlah RM5,160,” katanya, di sini, semalam.

Katanya lagi, pemeriksaan dokumentasi mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warganegara asing.

Suspek kemudian dibawa ke BSJND, IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau pada masa sama turut memberi amaran keras tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah mahupun jenayah yang berlaku di daerah itu serta tetap akan menjalankan operasi berterusan sepanjang bulan Ramadan sehingga perayaan Aidilfitri dengan lebih agresif.