Suria Capital Lantik Datuk Ahmad Rizal Dahli Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Baharu

Suria Capital Lantik Datuk Ahmad Rizal Dahli Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Baharu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suria Capital Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Rizal Dahli sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Datuk Ahmad Rizal, 55, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad dan telah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Suria Capital sejak 23 Mac 2020. 

Sepanjang tempoh itu, beliau terlibat secara aktif dalam perbincangan strategik dan pelaburan Lembaga Pengarah.

Beliau memiliki lebih 25 tahun pengalaman profesional merangkumi perbankan korporat, pembiayaan projek dan pengurusan eksekutif, dengan pendedahan industri termasuk infrastruktur, pembangunan hartanah, maritim, minyak dan gas serta pegangan pelaburan.

Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Hj. Faisyal Diego berkata, Lembaga Pengarah yakin kepimpinan dan pengalaman luas Ahmad akan memperkukuh pasukan pengurusan serta memacu pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

Menurutnya, pemahaman mendalam Ahmad terhadap Suria Capital, digabungkan dengan latar belakang profesional yang pelbagai, menjadikan beliau calon sesuai untuk menerajui hala tuju strategik syarikat.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ng Kiat Min atas kepimpinan dan sumbangan signifikan beliau sepanjang hampir sedekad berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, yang berakhir pada 31 Disember 2025.