KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera parah dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta Proton Iswara dan sebuah Mitsubishi Triton di Jalan Pantai Lok Kawi–Kinarut awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.04 pagi itu, sebuah Proton Iswara bertembung dengan Mitsubishi Triton sebelum tercampak ke dalam parit, manakala kenderaan pacuan empat roda berkenaan dilaporkan terbalik di lokasi kejadian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah memaklumkan seorang mangsa lelaki berusia 21 tahun yang berada dalam Proton Iswara tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Empat lagi mangsa dari Proton Iswara berusia antara 16 hingga 20 tahun, semuanya lelaki, tercampak keluar ke dalam parit akibat pelanggaran tersebut dan mengalami kecederaan parah.
Kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu Mitsubishi Triton, seorang lelaki berusia 35 tahun, dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang penumpang wanita berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan.
Operasi menyelamat melibatkan seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan dan Penampang, dengan bantuan agensi lain termasuk polis, APM Dan KKM.
Operasi dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 5.44 pagi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.






