LELAKI TERGAMAK KELAR ISTERI SEDANG BERPANTANG DAN BAYI 44 HARI

LELAKI TERGAMAK KELAR ISTERI SEDANG BERPANTANG DAN BAYI 44 HARI

0
SHARE
Tempat kejadian di mana mangsa seorang perempuan, Hajar Nursyahirin Rosman berusia 26 dan anaknya, Hans Mohd Thakif Amir berusia kira-kira dua bulan (44 hari) ditemukan meninggal dunia dipercayai dikelar suaminya berumur 25 tahun...(Sumber Foto: PDRM)

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki melarikan diri selepas bertindak membunuh isteri dan anak kandungnya sendiri di sebuah rumah dekat Kampung Bakar Batu di sini.

Lelaki berkenaan berjaya ditahan selepas gambar dan videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial sejak tengah hari tadi.

 

 

 

 

 

VIDEO tular yang menunjukkan seorang lelaki menunggang motorsikal dalam keadaan bogel disyaki melarikan diri selepas membunuh isteri dan anaknya…

Menurut sumber daripada ayah mangsa, Rosman Ahmad, 58, berkata anak perempuannya, Hajar Nursyahirin Rosman berusia 26 tahun dan cucunya, Hans Mohd Thakif Amir berusia kira-kira dua bulan (44 hari) ditemukan sudah meninggal dunia, dipercayai dikelar suaminya yang berumur 25 tahun.

Lelaki itu pula dilaporkan melarikan diri sejurus kejadian itu dengan menaiki motosikal dalam keadaan berbogel.

“Apabila saya sampai, anak pertama dan kedua sudah ada di sini (rumah keluarga anak ketiga), saya lihat anak perempuan saya terbaring depan pintu rumah dengan luka di leher macam dikelar…

“Cucu lelaki saya, juga terdapat luka di leher, ketika itu ada jururawat sedang mengendongnya. Tetapi, saya difahamkan cucu saya ditemui di sisi ibunya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Jenazah kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, esok.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kematian dua beranak itu pada 12.42 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan pihak polis, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari dan bertindak atas maklumat kita berjaya menangkap suspek…

“Suspek ditahan di kawasan Permas Jaya pada 2.45 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS),” katanya.

Raub berkata, turut dirampas sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, esok (5 Julai) untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut kes berkenaan.