TAWAU: Seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan polis selepas disyaki mengugut dan mencederakan dengan menendang rakan sekerjanya dalam kejadian di Hospital Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, mangsa wanita berusia lingkungan 20-an sedang berada di bilik rehat sebelum didatangi suspek yang dikenalinya.
Menurutnya, suspek dipercayai meninggikan suara terhadap mangsa susulan perselisihan faham antara mereka sebelum keadaan bertukar menjadi insiden kekerasan.
“Suspek kemudiannya didakwa menolak dan menendang mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian badan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah menahan suspek bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau menggunakan kekerasan ketika berdepan perselisihan faham.
Sebarang pertikaian di tempat kerja disaran diselesaikan melalui saluran yang betul termasuk melaporkannya kepada penyelia atau ketua masing-masing tanpa menggunakan ugutan atau kekerasan yang boleh merugikan diri sendiri.






