Model 8E Unsur Penting, Bina Ekosistem Pelaksanaan dab Perkasa Masyarakat Orang Asal

Model 8E Unsur Penting, Bina Ekosistem Pelaksanaan dab Perkasa Masyarakat Orang Asal

0
SHARE

KOTA MARUDU: Model 8E yang merangkumi lapan unsur utama dicadangkan sebagai asas membina ekosistem pelaksanaan dan pemerkasaan Masyarakat Orang Asal, khususnya dalam menterjemahkan komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP) kepada tindakan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, lapan unsur berkenaan merangkumi pengiktirafan hak, dasar, perundangan, institusi, pembiayaan, pembangunan kapasiti, penyertaan serta pemantauan dan akauntabiliti.

Menurutnya lagi, pendekatan menyeluruh diperlukan kerana pelaksanaan UNDRIP tidak boleh bergantung kepada satu kementerian, agensi atau program semata-mata.

Pelaksanaan UNDRIP tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat – Whole of Government dan Whole of Society – dengan Masyarakat Orang Asal sendiri menjadi rakan dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas seminar bertajuk Melaksanakan Komitmen UNDRIP di Malaysia: Ke Arah Dasar Negara dan Pelan Tindakan Nasional — Agenda Tuaran pada Forum Kesedaran Hak-Hak Orang Asal Sabah sempena Karnival Momogun bagi Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2026 di Kota Marudu pada Jumaat.

Program itu dianjurkan Momogun National Congress (MNC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Marudu dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Madius berkata, Malaysia telah mengundi menyokong UNDRIP ketika deklarasi itu diterima Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2007.

Justeru katanya, selepas hampir dua dekad, tumpuan kini perlu diberikan kepada bagaimana komitmen itu dapat diterjemahkan kepada dasar, undang-undang, institusi, program dan hasil yang benar-benar dirasai Masyarakat Orang Asal.

“Kita perlu bergerak daripada pengiktirafan kepada dasar, daripada dasar kepada pelaksanaan, dan daripada pelaksanaan kepada hasil,” katanya.

Dalam pembentangan itu, Madius turut mencadangkan tiga instrumen utama iaitu Dasar Negara bagi Pelaksanaan UNDRIP, Pelan Tindakan Nasional 2027–2037 serta sistem tadbir urus, pemantauan dan akauntabiliti bagi mengukur kemajuan pelaksanaannya.

Cadangan berkenaan digerakkan menerusi kerangka Agenda Tuaran yang antara lain menekankan penyelarasan pelaksanaan dari peringkat Persekutuan dan Negeri hingga ke daerah serta komuniti.

Ia turut memberi penekanan kepada penyertaan bermakna Masyarakat Orang Asal, pelaksanaan prinsip Persetujuan Bebas, Terdahulu dan Dimaklumkan (FPIC), Penilaian Keserasian UNDRIP serta sistem pemantauan dan akauntabiliti.

Madius berkata, Sabah mempunyai pengalaman dan institusi tersendiri termasuk sistem adat serta Mahkamah Anak Negeri, sekali gus berpotensi menjadi antara medan penting untuk menguji, menyesuaikan dan memperkaya pendekatan pelaksanaan UNDRIP mengikut bidang kuasa Persekutuan dan Negeri.

Beliau bagaimanapun menjelaskan Agenda Tuaran bukan dasar muktamad atau tafsiran undang-undang yang mengikat, sebaliknya kerangka pertimbangan dan platform dialog sebagai titik permulaan membangunkan dasar serta pelan tindakan secara inklusif.

“Dasar mengenai Masyarakat Orang Asal mesti dibina bersama Masyarakat Orang Asal — bukan untuk mereka semata-mata.

“Matlamat kita bukan menghasilkan satu lagi dokumen. Matlamat kita ialah membina satu sistem pelaksanaan daripada pengiktirafan kepada pelaksanaan, daripada ‘untuk’ kepada ‘bersama’, dan daripada komitmen kepada hasil,” katanya.