Isu Parkir: Ada Kompaun Tertunggak Cecah RM40,000, Rayuan Ansuran Dibenarkan – Sabin

Isu Parkir: Ada Kompaun Tertunggak Cecah RM40,000, Rayuan Ansuran Dibenarkan – Sabin

0
SHARE

 

KOTA KINABALU: Sebahagian pemilik kenderaan yang ditunda Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) didapati mempunyai sehingga 200 kompaun tertunggak dengan nilai terkumpul mencecah RM40,000, kata Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Bagaimanapun, beliau berkata DBKK memberi ruang kepada pemilik terbabit untuk memohon pembayaran secara ansuran dan mengemukakan rayuan bagi jumlah kompaun terkumpul yang tinggi.

“Berdasarkan rekod DBKK, sebahagian pemilik kenderaan yang ditunda mempunyai kompaun terdahulu yang belum diselesaikan, dalam sesetengah kes mencecah 200 kompaun dengan nilai terkumpul sehingga RM40,000.

“Ini menunjukkan terdapat kesalahan berulang dan tanggungan yang terkumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabin berkata, pemilik kenderaan yang ditunda diminta segera menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk menguruskan tuntutan kenderaan.

Menurutnya, penguatkuasaan parkir termasuk tindakan penundaan dilaksanakan bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki bebas daripada halangan serta menjaga keselamatan dan kepentingan awam.

Katanya, parkir berganda dan tindakan menghalang lalu lintas bukan sahaja menjejaskan pengguna lain, malah menyebabkan kesesakan dengan antara kawasan yang sering menerima aduan termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.

“Kompaun sahaja tidak dapat mengatasi halangan dengan segera apabila kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu.

“Sebelum penundaan, anggota penguat kuasa memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan. Jika arahan tidak dipatuhi, penundaan dilaksanakan sebagai langkah terakhir untuk membuka semula laluan,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata kemudahan parkir di pusat bandar secara keseluruhannya mencukupi dengan terdapat 20,000 petak parkir, merangkumi 4,005 petak parkir awam.

Antara kemudahan berkenaan ialah KK Plaza dengan 452 petak pada kadar RM1 sejam, Menara Jubili (276 petak, RM1 sejam), The Shore (700), Wisma Merdeka (750), Warisan Square (500) dan Oceanus (800).

Beliau berkata orang ramai perlu menggunakan parkir yang sah dan merancang perjalanan, manakala keinginan meletakkan kenderaan berhampiran destinasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang laluan atau melanggar peraturan.

Pada masa sama, Sabin menjelaskan DBKK tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir meskipun undang-undang kecil berkaitan membenarkannya tertakluk kepada syarat dan prosedur.

Katanya, lelongan setakat ini hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan serta penggunaan ruang awam.

Sebarang pertanyaan mengenai penundaan, rekod kompaun, permohonan ansuran atau tuntutan kenderaan boleh dirujuk terus kepada Jabatan Penguatkuasaan DBKK bagi mendapatkan penjelasan berdasarkan rekod kes masing-masing.

“DBKK komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, adil dan konsisten. Orang ramai diseru mematuhi peraturan parkir demi Kota Kinabalu yang teratur, selamat dan selesa untuk semua,” katanya.