Jawatan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Masih Kabur Buat Lajim

Jawatan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Masih Kabur Buat Lajim

0
SHARE

KOTA KINABALU – Isu berkaitan status muflis Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias selesai selepas beliau menyelesaikan sendiri pembayaran berjumlah RM185,000 di sebuah bank di sini pada pagi Rabu

Memetik kenyataan portal  berita Suara Sabah, notis kebangkrapan beliau di bawah Seksyen 105 (I) Akta Kebangkrapan 1967 juga dibatalkan serta merta oleh Mahkamah Tinggi pada pagi Khamis yang mana sesi pendengaran turut dihadiri oleh peguamnya merangkap Timbalan Presiden I Datuk Maijol Mahap.

Meskipun begitu Lajim berkata, kedudukan sebagai Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) masih kabur disebabkan beliau perlu mengikut penetapan semula jawatan itu melalui Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan berkenaan.

“Berdasarkan undang-undang, saya sudah berhenti secara otomatik pada tarikh saya diisytiharkan bangkrap iaitu 14 SeptEMBER 2017. Oleh yang demikian, Ahli Majlis Tertinggi Parti sebulat suara bersetuju bahawa Datuk Maijol Mahap akan memangku jawatan presiden bermula 14 SeptEMBER 2017 sehingga tarikh saya kembali semula.

“Walaupun saya sudah dikeluarkan daripada kebangkrapan pada pagi ini (Khamis), saya kena ikut perlembagaan parti iaitu hanya pada Mesyuarat Agung Tahunan sahaja saya boleh diterima kembali sebagai presiden dan kini saya hanya sebagai ahli biasa,” katanya ketika ditemui pada sidang media.

Beliau berkata, Mesyuarat Agung Tahunan Harapan dijangka akan berlangsung pada 26 Oktober depan bagi memutuskan sama ada beliau diterima atau tidak untuk kembali memegang jawatan itu.

Justeru, beliau berharap agar Ahli Majlis Tertinggi Harapan sama ada di peringkat bahagian mahupun cawangan agar terus teguh bersama dan tidak hilang arah dalam menangani sebarang situasi sedemikian selain terus memantapkan jentera pilihanraya negeri di pelbagai peringkat.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai Adun Klias, beliau sudah menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Syed Abas Syed Ali bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Katanya, segala keputusan adalah bergantung kepada budi bicara Speaker bagi menentukan kedudukannya sebagai Adun di Klias.