TAWAU, SABAH – Polis menahan seorang suspek pencuri telefon bimbit di kawasan Kompleks pada malam Ahad selepas dikejar orang awam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata dalam insiden kira-kira 10.45 malam itu, sepasukan Strike Team yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah turut mengejar suspek warga asing yang berusia 39 tahun.
“Mangsa seorang lelaki berusia 28 tahun yang mengejar suspek mengatakan telefon bimbitnya dilarikan lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jasmin berkata, semasa suspek ditahan, lelaki itu mula bertindak agresif cuba melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek kemudian menemui tiga peket plastik lutsinar mengandungi kepingan kristal jernih berbeza saiz disyaki syabu dengan anggaran berat 16.04 gram.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada walau di mana mereka berada bagi mengelak dari menjadi mangsa jenayah.